cinta ilahi

cinta ilahi

Saturday, 28 June 2014

Van Baru Madrasah (Farrid Placer X) (24 June 2014)


Atas Berkat doa dan sumbangan semua..
Kini Madrasah Syeikhul Ariffien Sudah mempunyai van baharu bagi menggantikan van lama yang sudah uzur..
Syukur Alhamdulillah..


Thursday, 26 June 2014

Luka yang tiada terasa


Kegilaan Zulaikha terhadap ketampanan Nabi Yusuf a.s. sudah tersebar. Namun ketampanan itu hanya dalam gambaran pemikiran mereka sahaja.

Mereka dijemput dalam jamuan Zulaikha dan diberi setiap seorang sebilah pisau untuk mengoyak buah ditangan mereka. Apabila Zulaikha memanggil Nabi Yusuf a.s. keluar dihadapan mereka, mereka semua terpaku kerana ketampanan Nabi Yusuf a.s. benar-benar dilihat dihadapan mata, bukan lagi cerita sehingga tidak sedar dan terasa sakit ketika menghiris tangan mereka sendiri.


Begitulah kehidupan...
 
Ramai yang terasa pedih dalam kehidupan kerana pengenalan mereka pada Allah hanya dalam bentuk pemikiran. Justeru itu, pengenalan ilmu kalam sahaja tidak cukup dalam mengenal Allah, tetapi wajib mencapai Makrifat dalam Qalbi sehingga benar merasai dan menyaksikan dengan matahati akan sifat Keindahan, Kesempurnaan, Kebesaran dan Cinta Allah.

Segala kelukaan tidak terasa lagi. Jiwanya hanya sibuk dengan keasyikan bersama dengan KekasihNya yang telah memperlihatkan keindahanNya. Semuanya kini dipandang indah apabila melihat disebalik segala kejadian kehidupannya, datang dari KekasihNya yang sedang memberi CintaNya. 
Hanya yang sedang bercinta sahaja dapat memahami bahasa Cinta



Friday, 20 June 2014

Pembinaan Surau Madrasah Syeikhul Ariffien (Update 21.06.2014)

Pembinaan surau madrasah sudah bermula pada 16 Mei 2014 (Jumaat). Setelah 36 hari  pembinaan berjalan, akhirnya pembinaan tiang sebanyak 40 batang selesai. Syukur Alhamdulillah. Selepas ini pembinaan akan diteruskan dengan membina beam atas (bumbung) surau.








Meniti Cinta sebuah Sejarah


Sejarah tidak boleh dipadamkan
sejarah tiada boleh dibelakangkan
sejarah perlu dicintai
lantaran…
peristiwa silam yang berlaku
menyebabkan wujud kehidupan kita pada hari ini…

Pakatan syaitan, iblis dan dajal
sentiasa memerhatikan sejarah
sebagai senjata  mematahkan  kekuatan
sebelum ianya berkembang kuat

Mereka amat menyakini
kegemilangan Cahaya Cinta Allah
akan lahir dari warisan Rasulullah s.a.w dan para ulama
yang memiliki keilmuan, akhlak dan kebijaksanaan
samada dari jalan Sayyidina Husseen r.a  secara cinta dan  keras
atau dari jalan Sayyidina Hasaan r.a secara cinta dan damai

Kita perlu melihat sejarah
kita perlu mencintai sejarah
kita perlu mencintai warisan
kita perlu mengenali keturunan
sebagai titik mengenali diri
sebagai langkah dalam kehidupan
yang baik kita jadikan ikutan
yang salah kita jadikan pedoman

Jangan kita takbur
menganggap segala peristiwa yang wujud kini
tiada kaitan dengan sejarah dan keturunan
sedangkan mana mungkin
kita wujud tanpa sejarah
kita wujud tanpa warisan
kita wujud tanpa doa
kita wujud tanpa cinta...

Maka…
mari kita melihat sejarah
mari kita melihat warisan
demi sebuah Cinta
untuk sebuah perjuangan…


Monday, 16 June 2014

Pembinaan Surau Madrasah Syeikhul Ariffien (Update 17.06.2014)

Pembinaan surau madrasah sudah bermula pada 16 Mei 2014 (Jumaat). Setelah 32 hari  pembinaan berjalan, akhirnya pembinaan lantai selesai. Syukur Alhamdulillah. Selepas ini pembinaan akan diteruskan dengan membina tiang surau.








Sunday, 15 June 2014

Pujian....


Berhati-hatilah dalam memuji
Berhati-hatilah dalam menerima puji
Kedua-duanya boleh membawa diri
Ke lembah kegelapan syirik

Jika kamu memuji
Pastikan kamu melihat kepada  hak Allah
Jika kamu dipuji
Pastikan kamu  memulangkan pujian kepada hak Allah

Memuji seorang yang  kaya, bijak, cantik, berjaya
Tanpa melihat di sebaliknya kurniaan hak Allah
Maka pujianmu adalah racun bagi dirimu
Kamu akan menjadi pemuja kepada makhluk seperti mu

Jika kamu dipuji dengan segala kelebihan yang ada padamu
Tanpa melihat kurniaan hak Allah pada dirimu
Maka pujian  itu akan menjadi api bagi dirimu
Nafsu keangkuhan iblismu akan subur

Pujian Allah pada dirnya adalah benar
Pujian Allah pada makhlukNya adalah benar
Tetapi pujian makhluk pada dirimu  kadangkalanya dusta
Memuji dirimu akan dirimu adalah  kebinasaan

Kembalikan segala pujian bagi Allah
Dia yang berhak bagi segala pujian
Yang lain daripadaNya hanya ada pada syariat
Tetapi tiada pada hakikat

Berjalanlah dengan Cahaya Rasulullah
Agar kebenaran sentiasa terpandang…



Friday, 13 June 2014

Pembinaan Surau Madrasah Syeikhul Ariffien (Update 14.06.2014)

Pembinaan surau madrasah sudah bermula pada 16 Mei 2014 (Jumaat). Setelah hampir 30 hari pembinaan berjalan, akhirnya pembinaan beam sudah selesai. Syukur Alhamdulillah. Selepas ini pembinaan akan diteruskan dengan membina lantai surau.




Monday, 9 June 2014

Cinta Zulaikha....

 
Apabila Zulaikha mengejar cinta Nabi Yusuf a.s
bayangan Nabi Yusuf a.s. semakin menjauhinya
sehingga dia menderita dalam cintanya
memamah kehidupannya sehingga tua…

Akhirnya Zulaikha menyedari
keindahan Nabi Yusuf a.s. adalah bayang  bagi penciptaNya
Maka dia mengatakan
kenapa dia perlu membuang masa dalam kehidupan
mengejar hanya bayang- bayang
kenapa aku tiada mengejar yang empunya bayang-bayang...

Maka Zulaikha mengambil keputusan
memalingkan jiwa, akal dan tubuhnya
mencari cinta empunya bayang-bayang
sehingga dia mencapai keasyikan yang tiada nilainya
fana segala bayang-bayang
maka nyatalah keindahan empunnya bayang-bayang...

Ketika itu keindahan Dzat Jamal yang dicintai
dengan kebesaran dan keagunganNya
menyalin jiwanya
dengan persalinan cinta dariNya
jiwanya disaluti cahaya emas makrifat
jiwanya penuh dengan tajalli Jamal  Allah
namun Dia tersembunyi dari dilihat
pada kehidupan alam ini…


Ketika Nabi Yusuf a.s. diperintah Allah
agar berkahwin dengan Zulaikha
lalu baginda berkata:

" bagaimana aku berkahwin dengannya usianya yang lanjut
rupa dan tubuhnya bagaikan mayat yang berjalan"

Maka Allah berfirman:

" Kecantikan disisi Allah adalah hati.."

lalu keindahan hati Zulaikha dizahirkan Allah
sehingga bersinar kecantikkannya
maka tersilau Nabi Yusuf a.s. dengan keindahan itu
lalu dia menjadi pemuja Zulaikha
ditarik bajunya sehingga koyak ketika Zulaikha sedang asyik dengan TuhanNya...

Maka Baginda menyedari
bahwa diri Zulaikha tidak lagi memandang akan keindahan dirinya
tetapi memandang hanya pada Dzat Ahadiah
Raja bagi segala keindahan…

Karamah yang berlaku pada Zulaikha
dizahirkan  Allah ketika di alam ini
itulah hakikatnya di akhirat nanti
keindahan seseorang berubah berdasarkan keindahan hati
segala keindahan tubuh akan hilang
yang akan zahir adalah keindahan jiwa
yang bertali makrifat dengan Allah…

Indahkan jiwamu wahai para pencinta
kerana Allah cintai keindahan
namun Allah tiada melihat keindahan tubuhmu
tetapi mencintai keindahan jiwamu…




Friday, 6 June 2014

Kembara Cinta Agung.....


Jangan engkau hidup untuk memuaskan jiwa manusia. Engkau tidak akan dapat sempurnakannya malah engkau akan kecewa dihujungnya. 

Hiduplah untuk kebahagiaan diri dengan membangunkan sebuah Cinta Agung, cinta itu hanya ada pada Allah dan Rasul. 

Para sahabat r.a mencari cinta dengan menjadikan diri dan keluarga mereka sebagai tebusan pada Rasulullah s.a.w
  
Syaikh Abdul Qadir Jailani mencari cinta selama 20 tahun di dalam hutan yang sepi. 
Syaikh Ibrahim Adham mencari cinta dengan meninggalkan istananya. 
Syaikh Bahauddin Naqsyabandi mencari cinta dalam kesejukan salji yang mengigil. 
Syaikh Ibnu Mubarak mencari cinta dengan darah di medan perang. 
Syaikh Hassan asy-Syazili mencari cinta dalam mujahadah syukur. 
Rabi’ah ‘Adawiyah mencari cinta dengan berlapar dan berjaga waktu malam. 
Imam Al-Ghazali mencari cinta dengan berkhadam membasuh kandang kuda, berkelana, menyepi jauh di sudut masjid dan menulis kitab. 
Syaikh Junaid Al-Baghdadi mencari cinta dengan sedekah, makan bersama dengan kucing dan bertafakur sepanjang malam. 
Syaikh Ahmad Al-Qusyasyi mencari cinta dengan menggerakkan dakwah di Nusantara. 
Syaikh Muhammad Al-Baghdadi mencari cinta dengan mengembara membawa risalah Islam di bumi yang ada penyembah berhala. 

Para pengembara cinta ini melalui pelbagai jalan. Merekalah pengembara cinta yang benar, mereka hidup untuk cinta dalam diri mereka, bukan mencari cinta sesiapa. 

Wahai diri, 

Pekakkan telinga, butakan mata, bisukan lisan, tangan didakap pada dada, kaki disilang kemas, perut dikempiskan, akal disatukan dengan hati, bibir mengungkap kalimah agung - serapkan ke seluruh nadi dan darah, nafas dimusyahadahkan. Renunglah ke dalam diri kerana pada diri memiliki ayat-ayat cinta dari Rabb.  

Jangan disia-siakan kehidupan ini dengan mencari cinta nafsu yang membinasakan. Hiduplah untuk diri demi cinta yang hakiki. Ia sudah ada dalam dirimu bermula apabila engkau diciptakan. 

Disitulah engkau akan temui titik kebahagiaan mu di dunia dan akhirat.  

Beruntunglah... beruntunglah mereka yang memilikinya!



Wednesday, 4 June 2014

Memandang dalam KeEsaanNya.....


Ya Rabbi 
Apabila benar mengenal akan diriMu
 
Sentiasa kegelisahan dan kesedihan
 
Kerana sering hamba tergelincir
 
Dalam dakapan KeesaanMu

Engkau memancarkan WajahMu
 
walaupun di mana berhadap hamba
 
namun hanya hamba yang memiliki Nur
 
daripada pancaran Cinta Rasulullah SAW
 
akan dapat memandang Wujud Mu 
hingga terFana dalam keCintaanMu 

Apakah makna berdiri dalam solat
 
Apakah makna Ruku dan Sujud
 
Apakah makna bacaan Al-Fatehah dan tasbih
 
jika engkau melihat segala darimu
 
bukannya dari Kudrat dan Kasih Sayang dariNya
 
Maka tika tu engkau tergelincir
 
dalam kesyirikan yang amat hina
 
menduakan sifat kekuasaan
 
antara mu dengan Tuhan Mu
 

Hakikat hamba adalah fakir 
tiada memilki apa jua sifat kesempurnaan 
hanya sifat yang penuh kelemahan
 
buta, lemah, tuli, mati, bodoh, bisu, jahat, sakit..
 
maka jika ada kebaikkan, penglihatan, kekuatan, bernafas, berkalam, berilmu…
 
segalanya adalah hak miliknya DiriNya Yang Agung
 

Justeru itu apakah dosa yang paling besar
 
jika bukan sifat kesyirikan pada SifatNya
 
merasakan diri memiliki segala sifat tersebut
 
hingga zahir sifat kesombongan yang amat dibenci
 
kerana tiada kesedaran dalam mengenal diri...
 

Mereka yang benar mengenal dirinya
 
akan mengenal akan Allah
 
lantaran pada diri hamba
 
Allah menzahirkan segala SifatNya 
namun sedikit hamba yang memahaminya 
lantaran tiada sinaran Cahaya Rasulullah
 
memancar dalam jiwanya...
 

Sesungguhnya
 
tangisan kegembiraan
 
tangisan kesedihan
 
bergilir dalam hati sang hamba Arifbillah...
 
Dalam tajalli Allah padanya...